Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Secara keseluruhannya, kursus jalinan masyarakat ini berjaya memberikan impak yang besar dalam hidup saya. Sebelum ini, saya tidak pernah melakukan aktiviti sedemikian rupa namun kesempatan yang diberikan pada semester kali ini untuk mengambil kursus jalinan masyarakat dan membuat aktiviti yang tidak pernah difikirkan saya.
Pada awalnya, sejujurnya saya merasakan agak berat hati untuk melaksanakan aktiviti bersama anak anak safiyyah sebelum berjumpa dengan mereka. Memandangkan cuti hujung minggu yang perlu dikorbankan, saya agak malas. Namun setelah berkenal-kenalan dengan mereka, nampaknya mereka telah mengubah persepsi saya terhadap kursus ini. Tidak sia-sia kami semua berkorban masa hujung minggu untuk membuat aktiviti bersama penghuni rumah safiyyah.
Setelah beberapa minggu melaksanakan aktiviti bersama anak-anak rumah safiyyah, banyak memori indah dilakar bersama. Tidak kurang juga pengajaran dan nilai murni yang dapat diterapkan hasil daripada kursus ini. Sifat kasih sayang terserlah apabila kami semua perlu menjaga mereka walaupun kebanyakkan mereka agak nakal namun itulah lumrah semula jadi kanak-kanak. Ketegasan juga diberikan sekiranya mereka ingkar arahan kami namun tidaklah sampai mendenda dengan kejam. Dengan cara ini, kami juga dapat meningkatkan tahap kepimpinan kami.
Selain itu, saya belajar erti kesyukuran dan keikhlasan dengan begitu banyak. Memandangkan mereka merupakan anak-anak yang kurang bernasib baik, kami amat mensyukuri segala nikmat yang kami peroleh daripada kecil sehingga kini. Apabila memberi bantuan kepada mereka, kami benar-benar berniat untuk membantu mereka agar dapat meringankan beban mereka dan dapat menggembirakan mereka walaupun hanya sedikit.
Dari segi berkumpulan pula, kami dapat merasakan hubungan antara ahli kumpulan yang semakin akrab. Memandangkan masing-masing sibuk dengan tutorial, assignment, perbincangan kumpulan, namun dengan kursus ini kami dapat mengeratkan lagi ukhuwah antara kami. Secara tidak langsung kerjasama antara kami juga semakin meningkat.
Natijahnya, kursus jalinan masyarakat ini berjaya mencapai sasarannya kerana apabila berakhirnya majlis penutup di rumah safiyyah, kami berasa amat berat hati untuk berpisah bersama mereka. Kami berharap agar aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan. 😃
-Amyra-
No comments:
Post a Comment