Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Dilahirkan menjadi anak paling bongsu di dalam keluarga, saya tidak pernah merasa nikmat mempunyai seorang adik. Oleh itu, saya menjadi kekok apabila kali pertama tiba di Rumah Safiyyah. Perkenalan yang singkat namun anak-anak Safiyyah banyak membuka mata saya kepada banyak perkara. Pertama, erti kesyukuran atas segala nikmat yang Tuhan telah berikan. Anak-anak Safiyyah hidup dalam serba kekurangan pada usia yang masih muda dibandingkan dengan saya yang hidup dengan ibu ayah namun saya masih tidak bersyukur dan kadangkala alpa dengan rezeki yang Tuhan kurniakan.
Sepanjang berada di Rumah Safiyyah dan menjalankan aktiviti jalinan masyarakat bersama mereka merupakan pengalaman pertama saya melakukan aktiviti sukarelawan sebegini. Saya harap saya dapat peluang untuk meluangkan masa bersama orang-orang tua pula pada masa hadapan. Satu pengalaman sebak yang saya ingin kongsikan dan saya tidak akan lupakan, Sofia merupakan salah seorang anak Safiyyah. Sofia begitu kecil dan sentiasa menangis apabila kami jalankan aktiviti kerana tidak faham dan sentiasa kalah di pusingan awal. Pada suatu hari, saya duduk dengan Sofia dan di atas meja terdapat beberapa gambar burung yang berbeza warna.
Berulang kali saya mencuba namun Sofia masih tidak dapat mengenal warna. Saya tidak putus asa minggu seterusnya saya akan jumpa Sofia dan mengajar warna kepadanya. Pada hari terakhir, saya memeluk Sofia dan dia bisik halus “Terima kasih sebab ajar warna..”. Perasaan saya berkecamuk dan membuat saya sedar di dalam dunia ini, bukan kita seorang sahaja yang sedih apabila ditimpa ujian atau masalah. Ramai lagi manusia yang menghadapi ujian lagi berat terutamanya kehilangan orang yang tersayang. Pengalaman ini akan saya jadikan pedoman dan batu loncatan untuk tidak mudah berputus asa.
No comments:
Post a Comment