Saturday, May 16, 2015

Minggu pertama (refleksi peribadi)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

“Kita memberi bukan kerana kita punyai segalanya, tetapi kerana kita tahu bagaimana rasanya untuk tidak memiliki apa-apa.” – Mummy (Kak Mia)

Setelah berakhir sesi untuk hari ini, kata-kata Kak Mia terngiang-ngiang di dalam kotak fikiran. Walaupun terdapat pelbagai dugaan dan masalah yang dihadapi, Alhamdulillah, kami sudah selesai untuk hari pertama Program Jalinan Safiyyah. Segala penat lelah atas hari ini sangat bermakna kerana bagi saya, kami telah melalui satu pengalaman yang sangat berharga.

Kanak-kanak, insan yang masih kecil dan suci fikiran dan hati mereka. Bagi saya, setiap kanak-kanak mempunyai ciri ini tidak kiralah bagaimana latar belakang mereka. Jadi, tugas kita iaitu orang berada di sekeliling kanak-kanak untuk membentuk mereka semua. Dan untuk anak-anak safiyyah, apa yang saya nampak ialah potensi dalam diri mereka untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Berada bersama anak-anak Safiyyah menyedarkan kepada saya yang mereka perlu dibentuk sebaik mungkin untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Kami juga turut menjalankan aktiviti bersama mereka sepanjang hari ini. Bermula dengan aktiviti ‘Ku Ingin Terbang’, ‘Bukan Hanya Aku’ sehingga ‘Sesi Spa’, kesabaran kami semua dalam melayan kerenah dan ragam anak-anak yang bermacam-macam amatlah diuji. Perkara ini sebenarnya tidaklah hairan kerana mereka kanak-kanak yang penuh dengan rasa keterujaan. Namun demikian, kami perlu bersabar kerana ini adalah salah satu proses pembelajaran bagi kami untuk menangani anak-anak.

Akhir sekali, apa yang paling penting bagi sesi kali ini ialah kami sedikit sebanyak dapat menyelami perasaan da nisi hati mereka sebagai anak-anak yang kurang kasih sayang daripada ibubapa sendiri. Jadi, kami sebagai abang-abang dan kakak-kakak akan cuba apa yang termampu untuk menyumbang yang terbaik kepada anak-anak Safiyyah.

Semoga kita sentiasa dirahmati Allah SWT. Sekian, Wassalam.

-Izuddin-

No comments:

Post a Comment